Khamis, 2 Jun 2011

Punca Berlakunya Pencemaran Air


Air merupakan salah satu keperluan asas manusia. Namun, air semakin hari semakin tercemar. Pencemaran ini dikaitkan dengan larutan pelbagai bahan kimia toksik dan bahan buangan. Pelarut-pelarut ini senang mencemarkan air dan sumber air kita. Kini, banyak punca air kita tercemar sehingga didapati bahawa jika tiada sebarang langkah diambil ia mungkin memudaratkan kehidupan manusia.

Punca utama pencemaran air ialah bahan buangan domestik. Bahan-bahan buangan domestik yang terdiri daripada sampah sarap dan bahan kumbahan dibuang sewenangwenangnya ke dalam sungai. Bahan kumbahan disalirkan ke dalam parit dan sungai sebagai cara termudah menanganinya. Sampah organik mereput dan diuraikan oleh bakteria dengan oksigen yang terlarut di dalam air. Ini mengakibatkan kekurangan oksigen dalam air yang menggugat kehidupan akuatik.

Kilang-kilang juga dianggap sebagai punca pencemaran air yang utama. Kebanyakan kilang dibina di sepanjang sungai untuk memastikan bahan-bahan buangan disalirkan ke dalam sungai-sungai berkenaan. Masalah timbul apabila cecair kimia yang disalurkan ke dalam sungai tidak dirawat dan mengandungi bahan toksikyang mencemarkan air sungai. Kebanyakan kilang membuang sisa cecair dan pepejal ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar. Irni biasanya dikaitkan dengan bahan agrokimia.

Pertanian juga dikenal pasti sebagai punca pencemaran air. Pengilangan hasil-hasil pertanian menghasilkan banyak bahan kimia cecair yang disalirkan ke dalam sungai-sungai. Hampas-hampas organik yang menjadi bahan buangan pemprosesan dibuang ke dalam sungai. Selain itu, penggunaan baja, pestisid dan insektisid untuk membunuh haiwan perosak mencemarkan sumber air. Ini menghalang penembusan cahaya ke bawah permukaan air dan mengakibatkan kematian tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan akuatik.

Selain itu, industri perlombongan juga tidak kurang penting dalam mengakibatkan pencemaran air. Can gali petroleum di dasar laut dan tumpahan minyak adalah antara bukti nyata. Penggerudian perigi-perigi minyak dan letupan tangki minyak menyumbang kepada gejala ini. Apabila minyak ini bercampur dengan air laut atau sungai, is akan mengakibatkan air tercemar. Ini memberi kesan kepada kehidupan air seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan akuatik yang seterusnya menjejaskan sumber protein manusia.
Bahan-bahan buangan radioaktif dan ujian-ujian bom dan nuklear di laut-laut juga menyumbang kepada pencemaran air. Banyak bahan buangan radioaktif yang terhasil dani makmal-makmal dan buangan hospital yang mengandungi sisa-sisa toksik larut dalam air serta mencemarkan air sungai dan laut. Stesen-stesen nuklear juga menyalirkan bahan buangan ke dalam sungai yang mengakibatkan sungai tercemar. Ujian-ujian bom di laut juga menyumbang kepada pencemaran air laut.

Kesimpulannya, pencemaran air merupakan satu masalah sosial yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk menanganinya. Kita harus memastikan bahawa persekitaran kita bersih dan selamat untuk hidup. Langkah-langkah perundangan penting dalam menangani masalah ini. Kesedaran melalui pendidikan alam sekitar juga dapat membendung fenomena ini.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Feed

Sejarah Perkembangan Air Di Malaysia..

Malaysia adalah sebuah Negara aman makmur. Malaysia telah dianugerahkan sumber air dari pelbagai sumber yang bersih. Kita patut bersyukur kerana hujan turun 3000mm setahun membolehkan Malaysia menguruskan bekalan air kepada rakyatnya. Jaringan sungai yang panjang juga boleh dijadikan sumber bekalan air bersih yang baik. Jumlah sungai mengalir di bumi Malaysia yang sejumlah 150 batang itu membekalkan kira-kira 25000 meter padu air diperbaharui.
Sejak 200 kebelakangan ini air telah digunakan dengan sewajarnya untuk membasuh, minu, mengairi tanaman dan untuk lain-lain kegunaan. Sistem perpaipan ke kediaman diperkenalkan oleh Inggeris sejak zaman pemerintahannya bertapak di Tanah Melayu. Dasar menyalurkan bekalan air bersih ini diperkenalkan oleh British memandangkan keperluannya air bersih untuk kegunaan mereka. Pada tahun 1804 Inggeris telah menyediakan bekalan air bersih kepada lebih 10000 penduduk Pulau Pinang. Pada masa itu saluran air dibuat daripada batu bata dan sering mengalami masalah bocor dan pecah. Namun pada tahun 1877 saluran paip telah ditukar kepada cast iron.
Sejak tahun 1900 air tidak lagi dibekalkan tanpa rawatan. Sejak itu air yang dihantar ke rumah-rumah akan dirawat terlebih dulu. Pada tahun 1906 empangan pertama untuk pengairan telah dibina iaitu empangan Ampang bagi membekalkan air di seluruh Kuala Lumpur. Menjelang tahun 1939 kebanyakkan Bandar-bandar besar telah dilengkapi dengan sistem bekalan air bersih.
Sehingga tahun 1950 Malaysia telah mempunyai 100 pusat rawatan air bagi membekalkan 195 juta liter air untuk keperluan 1.05 juta pengguna. Dengan peningkatan populasi penduduk di Kuala Lumpur pada tahun 1959 satu empangan telah dibina iaitu Kelang Gate dan pusat rawtan Bukit Nenas beroperasi sepenuhnya.
Selepas perang dunia kedua, Negara secara perlahan membangun dari kesan peperangan yang sangat dahsyat. Pada tahun 1980 semasa zaman perindustrian bermula di Malaysia, Negara sekali lagi menerima permintaan yang tinggi terhadap air bersih iaitu sektor perindustrian. Permintaan itu meningkat sebanyak 437% pada tahun 2000. Peningkatan yang sanggat tinggi terhadap permintaan air terawat.
Pelbagai usaha dilakukan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan air di seluruh Negara. Projek-projek mega dirangka untuk tujuan itu. Diantaranya adalah penyaluran air dari Pahang ke Selangor, empangan Kinta di Perak dan beberapa lagi projek bagi membekalkan air bersih kepada pengguna yang semakin meningkat setiap tahun.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Feed

Ubah Tabiat Membazir Air

Dalam satu kajian yang diadakan baru-baru ini, mendapati bahawa purata penggunaan air domestik di Malaysia adalah tertinggi di rantau ini, iaitu sebanyak 226 liter per kapita sehari.

Malaysia dikurniakan taburan air hujan yang banyak. Namun masyarakat tidak menghargainya dan enggan memikul tanggungjawab yang sepatutnya untuk memulihara sumber-sumber asli ini.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, purata penggunaan air dalam satu mandian sebanyak 50 liter hingga 100 liter air.



Tabiat membazir seperti meninggalkan air mandian mengalir semasa menggunakan sabun adalah biasa dalam kalangan pengguna.

Kajian yang telah dijalankan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), menunjukkan hanya 67% daripada responden yang disoal selidik menutup air mandian semasa menggunakan sabun. Pada masa yang sama, 40% tidak pernah atau tidak menggunakan tekanan berbeza untuk mengawal aliran air mandi mereka.

Menurut Pusat Tenaga Pengguna di California, satu mandian biasanya memerlukan 113 liter hingga 189 liter air. Satu mandian yang mengambil masa 4 minit dengan pancuran lama memerlukan 75 liter air. Dengan menggunakan pancuran yang beraliran rendah, hanya 37 liter air diperlukan. Dengan ini penggunaan air dapat dijimatkan.

Peralatan penjimatan air seperti pancuran beraliran rendah dan sistem dwi-pam hanya sekadar peralatan untuk membantu untuk mencapai matlamat penjimatan air.

Untuk mencapai matlamat utama iaitu penggunaan mampan ataupun lestari, tabiat membazir ini mesti dikikis. Apa yang lebih menyedihkan berdasarkan kajian tersebut ialah sebanyak 70% mengatakan mereka tidak akan menukarkan cara hidup dan cara penggunaan air mereka dalam 3 tahun yang akan datang.

Oleh itu, kesedaran dan pendidikan kepada orang awam adalah mustahak untuk menggalakkan penggunaan peralatan yang jimat air serta cara menggunakan air yang lebih lestari.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Feed

Krisis air menjelang 2014?


TAHUKAH pembaca kita bakal menghadapi krisis kekurangan air menjelang 2014 jika tabiat membazir dan penggunaan cara sekarang terus diamalkan?

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Ahmad Zahdi Jamil baru-baru ini mendedahkan, jika amalan itu terus menjadi ikutan oleh rakyat Malaysia, 2014 menyaksikan negara akan kekurangan 476 juta liter sehari.

Tak ramai yang tahu mengenai perkara ini kerana bagi mereka air mudah diperoleh dan murah, lebih-lebih lagi ada kerajaan negeri yang memberikan air percuma pada satu-satu kadar.

Ini semua akan melekakan kita. Air digunakan dengan sewenang-wenangnya. Malah, segelintir dari kita tidak akan risau jika melihat paip bocor atau semburan air daripada paip pecah di tepi jalan.

Saya sering melihat perkara ini dan sering juga menghubungi rakan-rakan di Syabas untuk membolehkan pembaziran dariapda kebocoran paip itu ditamatkan.

Namun ada sesetengah kes, perkara itu saya lihat mengambil masa yang agak lama dan pembazirannya dilihat amat tinggi.

Itu dari segi air tidak berhasil (NRW), dan jika kita lihat di sekeliling kita, sebenarnya kita juga turut membazir.

Menurut Ahmad Zahdi, seorang penduduk Malaysia secara 'mewah' menggunakan 280 liter air sehari. Ya sehari. Berbanding jiran kita di Singapura (155 liter), Filipina (175 liter) dan Indonesia (130 liter).

Kita sebenarnya boleh menjimatkan air dalam pelbagai perkara. Sebagai contoh, selepas kita membuang air kecil, pastinya kita akan mengepam dan ini sebenarnya menggunakan air yang banyak.

Apa kata, semasa mandi, mengambil wuduk atau memberus gigi, air yang digunakan itu boleh ditadah dan ia boleh digunakan untuk menjirus mangkuk tandas selepas membuang air kecil.

Kita juga boleh menyimpan air basuhan beras untuk digunakan untuk menyiram pokok bunga dan ini turut memberikan 'zat' tambahan secara tidak langsung kepada pokok bunga kita. Sebenarnya banyak lagi cara kita boleh menjimatkan air dan perkara itu perlu dilakukan sekarang dan bukan mahu menunggu sehingga krisis air menjadi lebih buruk.

Dan menurut Ahmad Zahdi cara paling mudah untuk mengekang perkara ini ialah menjadikan penggunaan air itu mahal.

Dan saya menyokong usaha itu. Ini secara tidak langsung akan menyedarkan pengguna mengenai kepentingan penggunaan air. Ingin saya mengingatkan diri sendiri dan pembaca, bahawa jika kehabisan air, tidak ada cara untuk kita dapatkan air kembali berbanding elektrik.

Malah, jika air tiada, kacau bilau boleh berlaku di dalam sesebuah negara. Bayangkan.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Feed

Tahukah Anda?

  • Air meliputi ¾ daripada permukaan bumi. Hampir 97% daripada air bumi adalah air masin dan tidak boleh diminum. 2% lagi tersimpan sebagai air segar dalam glasier, litupan ais dan banjaran gunung bersalji. Hanya 1% air sahaja daripada air bumi yang tersedia dan boleh dikitar semula untuk kegunaan domestik, perniagaan, pertanian dan awam.
  • 2/3 daripada berat tubuh badan manusia adalah air. Darah terdiri daripada 90% air dan otak manusia terdiri daripada 85% air.
  • Tubuh manusia boleh bertahan selama beberapa minggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari sahaja tanpa air.
  • Minumlah sekurang-kurangnya 8 gelas (2 liter) air dalam sehari untuk mengekalkan kesihatan yang baik.
 

    Stumble
    Delicious
    Technorati
    Twitter
    Digg
    Facebook
    Feed

    Cara Menjimatkan Air



    Air atau kekurangannya telah menjadi isu yang penting di Malaysia kebelakangan ini. El Nino yang berlaku pada 1997/98 telah menunjukkan kekurangannya sumber air. Beratus ribu penduduk di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan kawasan lain Selangor, Balik Pulau di Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan telah hidup dalam sengsara pemotongan bekalan air dan catuan air. 

    • TANDAS 
      1. Gunakan tandas yang mempunyai keupayaan curahan yang rendah (contohnya memilih sistem curahan yang berkeupayaan sebanyak 6 liter atau kurang) atau letakkan sebotol air ke dalam tangki curahan  untuk mengurangkan air yang dicurah.
      2. Kurangkan kekerapan curahan dalam sehari.
      3. Sentiasa melakaukan pemeriksaan untuk mengenal pasti sebarang kebocoran.  Masukkan pewarna ke dalam tangki curahan dan memeriksa sekiranya terdapat air berwarna yang meleleh keluar ketika dan selepas curahan.


    • BILIK MANDI
      4. Kurangkan masa mandian dan gunakan pancuran mandian bertekanan rendah.
      5. Letakkan sebuah baldi berhampiran dengan pancuran ketika mandi untuk mengumpul air yang berlebihan.  Air ini boleh digunakan untuk mencurah tandas atau menyiram taman.
      6. Tutup pancuran mandian ketika bersabun.



    • SINKI
      7. Jangan biarkan air mengalir ketika mencuci muka, menggosok gigi atau bercukur.  Cara terbaik ialah menggunakan air di dalam bekas.
      8. Baiki sebarang paip yang bocor atau yang sentiasa menitiskan  air.



    • TAMAN 
    • 9. Siram taman dan pokok bunga ketika senja atau awal pagi untuk mengelakkan kehilangan air melalui penyejatan akibat daripada kepanasan.
      10. Jangan menyiram pokok bunga secara berlebihan dan elakkan penyiraman ketika musim hujan.
      11. Ubahsuai pemercik di taman supaya kadar air yang digunakan tidak berlebihan.  Jika kawasan taman yang kecil, gunakan baldi atau salur getah.
      12. Sentiasa memeriksa dan mengubah suai pemercik mengikut cuaca.
      13. Elakkan penggunaan baja yang berlebihan dan gunakan baja nitrogen berasaskan air.
      14. Pilih landskap taman yang tidak memerlukan air yang banyak.
      15. Pastikan ketinggian rumput di taman  lebih kurang 6 sm kerana rumput yang sederhana panjang dapat menyimpan air dengan lebih berkesan.
      16. Gunakan penyapu untuk membersihkan kawasan luar rumah dan tepi rumah serta elakkan daripada menjirus air untuk membersihkan sampah sarap.
      17. Sebaik mungkin gunakan bekas tadahan bagi menyiram taman.

    • DAPUR
      18. Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk, gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki.
      19. Pastikan paip ditutup dengan ketat untuk mengelakkan air terus menitis.
      20. Simpan sebotol air di dalam peti sejuk atau gunakan ais jika memerlukan air sejuk
      21. Cuci sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan di dalam sinki yang berisi air dan elakkan air mengalir
      22. Pastikan mesin basuh penuh muatan cucian kerana setiap cucian akan menggunakan air yang sama walaupun pakaian hanya sedikit sahaja.


    • GARAJ
      23. Gunakan baldi untuk mencuci kereta dan elakkan penggunaan salur getah.
      24. Elakkan tumpahan minyak kerana minyak memerlukan air yang banyak dan sabun untuk membersihkannya.


    • CARA-CARA MENJIMATKAN AIR LAIN.
      25. Pastikan anda sentiasa menghadiri perjumpaan dan perbincangan mengenai air di kawasan anda.
      26. Sentiasa melakukan pemeriksaan terhadap sistem paip dalaman di rumah untuk mengelakkan sebarang kebocoran.
      27. Maklumkan sebarang kerosakkan paip kepada pihak berkuasa dengan serta merta.
      28. Galakkan aktiviti-aktiviti kesedaran dan penjimatan air di sekolah yang berhampiran kawasan rumah anda.
      29. Bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam penjimatan dan pemuliharaan air.
      30. Gunakan air tadahan hujan untuk kegunaan di garaj, di taman dan sekiranya boleh untuk curahan tandas simbah.


      Stumble
      Delicious
      Technorati
      Twitter
      Digg
      Facebook
      Feed

      Jumaat, 27 Mei 2011

      Kebersihan Air

      Air yang digunakan dalam pembekalan air daripada pelbagai punca seperti sungai, terusan, tasik, pembuangan dan sebagainya. Oleh itu terdapat bahan pencemar yang terkandung di dalam air yang digunakan setiap hari. Antara bahan-bahan pencemar tersebut ialah:
      1. Bahan-bahan humus
      2. Najis haiwan
      3. Bahan buangan
      4. Sampah-sarap
      5. Tindakan manusia



      Bahan-bahan humus adalah bahan yang diperolehi daripada proses pengaliran air sungai. Humus terbentuk daripada dedaun, ranting atau rumput-rampai yang terdapat di kawasan hulu dan mengalir ke hilir.
        Bahan humus akan terapung di muara dan membentuk kelodak. Air yang mengandungi humus mempunyai kualiti air yang tidak sihat kerana terdapat bahan yang terapung. Air ini tidak sesuai digunakan kerana tidak mencapai tahap kebersihan. Oleh itu, penyulingan adalah perlu.

      Air yang tidak bersih..



      Kebanyakan penternak mengambil jalan mudah untuk membuang najis haiwan yang tidak diperlukan. Mereka menggunakan sungai, terusan untuk membuang najis-najis haiwan ternakan.
        Pencemaran sungai disebabkan najis sering berlaku di negara ini. Najis akan bercampur dan memburukkan lagi kualiti air tersebut. Oleh itu, air yang bercampur najis memerlukan proses penjernihan yang sukar.



      Kebanyakan bahan-bahan buangan yang tidak diperlukan tidak mempunyai kawasan yang khusus. Bahan-bahan ini akan dibuang di merata-rata tempat. Sungai, tasik atau laut merupakan sasaran utama.
        Pembuangan sisa-sisa dari sektor industri atau perumahan kerap berlaku. Sisa-sisa seperti toksid, bahan kimia dan sebagainya dibuang ke dalam sungai dengan mudah tanpa mengira kesan yang akan dihadapi kelak. Sisa-sisa buangan tersebut bukan sahaja boleh membunuh hidupan di air tetapi boleh mengubah kualiti air.
        Kebanyakan pengusaha kilang mengambil inisiatif membuang sampah untuk mengurangkan kos pelupusan atau tapak pembuangan sampah. Oleh itu, tidak terdapat peruntukan yang diberikan untuk membersihkan sisa-sisa buangan yang tidak diperlukan. Air yang bercampur dengan sisa-sisa kimia sukar untuk dibersihkan dan mengancam nyawa peminumnya. Air ini memerlukan teknologi penyulingan air yang tinggi untuk menjadi bersih.


      Sisa Toksid yang membahayakan kesihatan








      Kebanyakan masyarakat yang mendiami kawasan berhampiran sungai menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah. Samapah-sampah domestik seperti sisa makanan, plastik, tin-tin kosong atau kotak-kotak yang tidak terpakai dibuang di sungai secara berleluasa.
        Antara faktor yang menyebabkan pembuangan berlaku ialah ketiadaan tempat pelupusan sampah yang sistematik. Oleh itu, adalah mudah samapah dibuang di sungai dan seterusnya mengubah kualiti sungai tersebut.


      Pencemaran air yang berlaku akibat manusia yang tidak bertanggungjawab




      Penebangan hutan boleh dijadikan faktor yang boleh mencemarkan keadaan sungai. Hutan yang ditebang menyebabkan tanah mudah runtuh kerana ketiadaan litup bumi.
        Tanah yang runtuh di bawa air hujan ke dalam sungai dengan mudah. Runtuhan tanah dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan hakisan berlaku. Terdapat juga tanah yang bercampur air dan menghasilkan kelodak.
        Air yang bercampur tanah mempunyai warna yang keruh dan mempunyai bendasing yang cukup tinggi. Air ini tidak mempunyai kualiti yang baik dan boleh membahayakan apabila diguna.
      Bagi membasmi masalah ini, kita haruslah memelihara air supaya air yang kita minum pada hari ini berkualiti sehingga ke generasi yang akan datang.


      Stumble
      Delicious
      Technorati
      Twitter
      Digg
      Facebook
      Feed
      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...