Khamis, 2 Jun 2011

Hargai Kepentingan Air


Hampir 70 peratus daripada keseluruhan tubuh manusia mengandungi air. Oleh itu, kita disarankan mengambil antara 8 hingga 10 gelas air sehari. Pengambilan air yang mencukupi amat penting bagi tubuh manusia untuk mengenyah toksik dalam badan, melincirkan sendi, membantu sistem dan organ pencernaan, mengawal suhu badan serta menghantar nutrien dan oksigen ke sel-sel badan.
Air yang bersih dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, menggalakkan metabolisme sel, mengurangkan risiko penyakit dan pertumbuhan sel abnormal serta dapat menghalang penyebaran toksin.
Walau bagaimanapun, air yang kita minum pada hari ini semakin tidak selamat berikutan daripada pencemaran sumber air yang semakin teruk. Pencemaran air ini berlaku apabila terdapat perubahan dari segi kandungan, keadaan, warna dan kualiti sehingga menyebabkan ia tidak sesuai diminum dan memberi kesan buruk kepada kesihatan. 

Suatu ketika dahulu, masyarakat tidak menghargai bekalan air bersih yang sememangnya mencukupi, malah melebihi untuk menampung kegunaan seharian. Tetapi pada hari ini, air dikhuatiri menjadi satu komoditi penting berikutan kekurangan sumber air serta peningkatan kos rawatan air. 

Air adalah satu sumber yang bernilai tetapi kita terus mengeksploitasikannya. Sehingga kini, banyak yang telah diperkatakan, dibincangkan serta ditulis mengenai air. Namun, kebanyakan daripada kita masih kurang menghargainya.

Kita sudah tentu berasa jijik dan loya apabila melihat pelbagai sampah membusuk di dalam longkang, membuatkan pengaliran air longkang tersumbat. Pantai-pantai dipenuhi sampah sarap yang menjengkelkan dan punca utamanya ialah manusia itu sendiri. Sesetengah kilang akan memperuntukkan kawasan untuk pembuangan sisa-sisa kilang. Namun, masih ada segelintir kilang yang secara terus menyalurkan sisa buangan ke dalam sungai. 


Selain itu, pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Antaranya, disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut ataupun sungai. Apabila sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut, banjir mudah berlaku dan menyebabkan persekitaran kotor apabila banjir tersebut berlaku. 

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Feed

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...