Khamis, 2 Jun 2011

Ubah Tabiat Membazir Air

Dalam satu kajian yang diadakan baru-baru ini, mendapati bahawa purata penggunaan air domestik di Malaysia adalah tertinggi di rantau ini, iaitu sebanyak 226 liter per kapita sehari.

Malaysia dikurniakan taburan air hujan yang banyak. Namun masyarakat tidak menghargainya dan enggan memikul tanggungjawab yang sepatutnya untuk memulihara sumber-sumber asli ini.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, purata penggunaan air dalam satu mandian sebanyak 50 liter hingga 100 liter air.



Tabiat membazir seperti meninggalkan air mandian mengalir semasa menggunakan sabun adalah biasa dalam kalangan pengguna.

Kajian yang telah dijalankan oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), menunjukkan hanya 67% daripada responden yang disoal selidik menutup air mandian semasa menggunakan sabun. Pada masa yang sama, 40% tidak pernah atau tidak menggunakan tekanan berbeza untuk mengawal aliran air mandi mereka.

Menurut Pusat Tenaga Pengguna di California, satu mandian biasanya memerlukan 113 liter hingga 189 liter air. Satu mandian yang mengambil masa 4 minit dengan pancuran lama memerlukan 75 liter air. Dengan menggunakan pancuran yang beraliran rendah, hanya 37 liter air diperlukan. Dengan ini penggunaan air dapat dijimatkan.

Peralatan penjimatan air seperti pancuran beraliran rendah dan sistem dwi-pam hanya sekadar peralatan untuk membantu untuk mencapai matlamat penjimatan air.

Untuk mencapai matlamat utama iaitu penggunaan mampan ataupun lestari, tabiat membazir ini mesti dikikis. Apa yang lebih menyedihkan berdasarkan kajian tersebut ialah sebanyak 70% mengatakan mereka tidak akan menukarkan cara hidup dan cara penggunaan air mereka dalam 3 tahun yang akan datang.

Oleh itu, kesedaran dan pendidikan kepada orang awam adalah mustahak untuk menggalakkan penggunaan peralatan yang jimat air serta cara menggunakan air yang lebih lestari.

Foon Weng Lian
Forum Air Malaysia
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Feed

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...