Rakyat Malaysia merupakan antara pengguna  yang paling banyak membazir air berbanding pengguna negara lain di Asia  Tenggara, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter  Chin Fah Kui. Menurut Kajian Penggunaan Air Domestik, katanya, penduduk  Malaysia menggunakan purata 226 liter air setiap hari berbanding rakyat  Singapura 155 liter dan Thailand sebanyak 90 liter setiap hari.Katanya kadar penggunaan air yang disyorkan  untuk setiap penduduk di negara ini ialah 165 liter setiap hari dan  penggunaan air semasa oleh setiap individu mencerminkan tabiat  pembaziran oleh masyarakat. "Sekiranya penduduk Malaysia mematuhi kadar  penggunaan air yang disyorkan itu, maka pengguna boleh menjimat sehingga  28.2 meter padu setiap isi rumah yang membawa kepada penjimatan RM18.33  sebulan," katanya ketika merasmikan Karnival Komuniti Hijau 2011 di  Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.
Chin berkata mengikut kajian itu, 70  peratus daripada responden menyatakan mereka tidak mungkin mengurangkan  jumlah penggunaan air di rumah masing-masing pada tiga tahun akan  datang. "Kita tidak sedar tindakan kecil seperti membiarkan air paip  terus mengalir ketika memberus gigi dan mengabaikan kebocoran paip boleh  mengakibatkan jumlah besar pembaziran air yang dirawat," katanya.
Karnival sehari dengan tema '1Hijau  1Komuniti' yang dianjurkan oleh kementerian dan Greentech Malaysia  antara lain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup kehijauan  serta menonjolkan inisiatif kehijauan yang dilaksanakan oleh kerajaan.  Seramai hampir 4,000 pengunjung menghadiri karnival itu yang menampilkan  pelbagai aktiviti termasuk permainan untuk kanak-kanak, konsert mini,  bengkel pendidikan dan menukar barangan kitar semula dengan hadiah.
- Kuala Lumpur, 13 Mac 2011











Tiada ulasan:
Catat Ulasan