Khamis, 2 Jun 2011

Strategi Bersepadu Atasi Pencemaran Air


AIR adalah komponen penting dalam kehidupan manusia dan menyokong kepada sistem kehidupan global. Air sumber penting untuk minuman, sistem kebersihan, pertanian, industri, pembangunan bandar, kuasa hidro, perikanan, pengangkutan, pengurusan tanah rata atau rendah dan kegiatan lain. Pengurusan air secara tidak cekap boleh menyebabkan wujudnya krisis air.

Air mewakili 70 peratus daripada isi bumi dan tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah antara bahan semula jadi paling penting di dunia. Air mengandungi hidrogen dan oksigen dan ia amat penting dalam isi planet ini untuk membesar dan tumbuh.

Walaupun mengetahui kepentingan air dalam kehidupan, manusia bagaimanapun nampaknya begitu mudah mengabaikannya dengan mencemarkannya dan mengotorkan longkang, sungai, tasik dan laut.

Pengarah Urusan Segi Perkasa Sdn Bhd, Hisham Jabar, dalam kertas kerja bertajuk Meminimumkan Pencemaran Alam Sekitar Melalui Pengurusan Industri Kumbahan Air Secara Efektif, berkata secara perlahan-lahan manusia sebenarnya mengancam planet sehingga ke tahap organisma mula mati pada kadar yang amat pantas.

Selain ancaman terhadap organisma yang mulai mati, air minuman yang paling penting untuk menjalani kehidupan sihat juga kadangkala dicemari dengan serius. Sehubungan itu, untuk mengatasi pencemaran air, kita harus memahami masalah dan sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian.

Pencemaran mengikut definisi bermaksud: "Untuk merosakkan atau tidak bersih atau kotor." Pencemaran air berlaku apabila sumber air dicemari berikutan sejumlah besar bahan tertentu bercampur dalam air. Apabila air dirasakan tidak sesuai untuk digunakan manusia, maka ia akan didefinisikan sebagai pencemaran air.

Ada dua jenis pencemaran air yang biasa kita dengar; sumber terus atau sumber yang tidak terus. Pencemaran dari sumber terus bermaksud apabila bahan yang bahaya dipancarkan kepada sumber air, contohnya limpahan minyak ke dalam laut. Contoh lain pencemaran sumber terus ialah sisa buangan dari kilang, pengaliran bahan cairan dari kilang, kilang rawatan bahan buangan dan banyak lagi yang terdedah kepada mencemarkan sumber air utama.

Pencemaran dari sumber yang tidak terus pula menyumbangkan pencemaran dari perubahan alam sekitar. Sebagai contoh ialah racun serangga di ladang yang kemudian mengalir ke tempat lain menerusi hujan yang kemudian memberi kesan kepada kehidupan akuatik. Contoh lain pula ialah pencemaran yang memasuki bekalan air menerusi tanah atau bumi dan daripada atmosfera air hujan. Tanah dan air dari bumi mengandungi sisa keladak daripada kerja pertanian manusia (contohnya racun serangga di ladang) yang dimusnahkan dengan tidak betul. Pencemaran atmosfera juga berpunca daripada manusia seperti penggunaan kenderaan (asap ekzos, kilang dan juga proses membuat roti).

Pengaliran keluar kumbahan air menerusi sektor perindustrian sama ada berskala besar, sederhana atau kecil adalah antara punca serta penyumbang kepada pencemaran alam sekitar jika tiada perancangan, langkah pencegahan dan rawatan secara efektif. Kumbahan air mengandungi bahan keluli, bakteria, organik dan bahan bukan organik boleh merosakkan alam sekitar serta akan meningkatkan ancaman kepada alam sekitar dan sekali gus mencemarkan air.

Air kumbahan boleh dikategorikan kepada beberapa jenis sama ada ia mengandungi bahan keluli, organik, bahan bukan organik, serangan bakteria dan pencemaran jenis lain. Sehubungan itu, dengan memahami bentuk sesetengah air lebihan, kita boleh merawat air lebihan berkenaan secara efektif untuk memastikan ia mencapai tahap kebersihan yang sesuai dengan taraf alam sekitar.

Bagaimanapun, ada teknologi untuk mengawasi pencemaran dari sumber terus walaupun faktor politik mungkin menyukarkan keadaan. Pencemaran dari sumber tidak terus bagaimanapun sukar dikawal. Pencemaran yang berpunca daripada sumber tidak terus adalah faktor majoriti atau utama kepada pencemaran yang berlaku di tasik dan sungai.

Pencemaran air kumbahan sudah menjadi krisis utama dunia. Bekalan air berkualiti yang tidak menentu untuk bahan minuman, pertanian, perladangan, industri dan lain-lain sejak bertahun-tahun lalu turut menimbulkan masalah. Dengan bekalan air yang tidak mencukupi, cara rawatan dan kitar semula adalah perkara utama yang harus dicapai untuk mengekalkan sumber bekalan air yang amat terhad. Secara geografi, pencemaran air lebihan di Malaysia secara amnya tidak kritikal dan hanya memberikan kesan minimum kepada alam sekitar, masyarakat dan pertanian.

Bagaimanapun, ada beberapa laporan mengenai krisis pencemaran air, penyakit berbahaya dan beberapa isu lain yang penting untuk memastikan rawatan air lebihan itu menjadi lebih efektif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan