Sungai merupakan hasil ciptaan daripada Tuhan. Sungai mempunyai pelbagai kegunaan kepada manusia. Sungai boleh digunakan sebagai sumber makanan, sumber bakalan air,alat pengangkutan seperti Sungai Kinabatangan dan sebagainya. Tetapi, masyarakat pada hari yang moden ini tidak menitikberatkan kebersihan sungai yang semakin teruk dan menyebabkan pencemaran berlaku.
Antara faktor-faktor yang mengakibatkan pencemaran sungai ialah manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam sungai dengan alasan tiada tempat untuk membuang sampah, lebih mudah dan cepat kerana sungai berhampiran dengan rumah dan lain-lain lagi. Di samping itu,sungai juga menjadi tempat untuk membuang toksik-toksik dan sisa-sisa bahan kimia dari kilang. Hal ini demikian kerana pengurus kilang yang tidak bertanggungjawab ingin mengurangkan kos untuk mengurus bahan kimia tersebut.
Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan sungai. Antaranya ialah mengadakan kempen seperti Kempen Membersihkan Sungai,Hari Hijau tentang cara menjaga sungai dan mengelakkan sungai daripada tercemar. Seterusnya, pihak sekolah sepatutnya mengadakan ceramah kepada murid-murid di sekolah supaya tidak membuang sampah ke dalam sungai serta mengendalikan sampah-sarap setelah berkelah di tepi sungai. Murid-murid haruslah mempraktikkannya setelah mendengar ceramah yang berfaedah seperti itu.
Di samping itu, kegiatan gotong-royong juga boleh diadakan untuk membersihkan sungai yang tercemar.Hal ini dapat dijalankan secara bekerjasama supaya kerja ini dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar. Sebagai seorang rakyat yang mesra alam, kita sepatutnya selalu peka terhadap isu-isu seperti pencemaran sungai. Alam ini sama-sama hidup dengan kita. Jika alam sakit dan musnah akibat pencemaran air, sungai, udara dan sebagainya , maka musnahlah manusia bersama dengan alam yang dicipta oleh Tuhan ! Kita sepatutnya menasihati sesiapa yang telah berbuat salah , iaitu membuang sampah ke dalam sungai supaya tidak berbuat demikian lagi. Lindungilah sungai kita daripada sampah-sarap .Janganlah kita membiarkan ikan hidup bersama dengan sampah seperti ini!
Bak kata pepatah,“Melentur buluh biarlah dari rebungnya". Sejak kecil lagi, anak-anak harus dipupuk semangat cinta akan alam sekitar dengan tidak mencemari sungai. Kepentingan sungai dan akibat pencemaran sungai harus diketahui oleh mereka. Jika sungai tercemar, hidupan akuatik tidak akan terus hidup , secara tidak langsung sumber makanan manusia akan terjejas serta manusia mudah dijangkiti pelbagai penyakit seperti cirit-birit, keracunan air dan sebagainya. Peranan ibu bapa amat penting dalam hal ini , mereka harus memberi pendedahan kepada anak supaya tidak merosakkan alam sekitar yang unik ini.
Sebagai pemerintah yang bijaksana, pihak kerajaan harus melaksanakan undang-undang bagi mengelakkan pencemaran air semakin serius. Pihak kerajaan harus memberi hukuman yang setimpal lagi berkesan kepada mereka yang mencemari sungai. Rakyat juga perlu memberi kerjasama kepada pihak kerajaan supaya kerja meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan sungai dijalankan dengan lancar. Sebagai contoh, rakyat yang mempunyai perasaan cinta akan alam sekitar akan melaporkan kejadian mencemari sungai dengan bahan toksik yang dikeluarkan dari kilang yang melakukan perkara yang haram. Pihak kerajaan juga sepatutnya menentukan kedudukan kilang supaya tidak berdekatan dengan sungai.Peranan guru juga amat penting dalam isu ini. Walaupun cara mendidik merupakan cara yang paling mengambil masa, tetapi juga cara yang paling berkesan. Guru-guru harus mendidik anak murid agar menjaga kebersihan sungai dan juga alam sekitar. Murid-murid harus diasuh dan dididik menjaga kebersihan alam sekitar serta cara mengendalikan sampah-sarap sejak dari kecil lagi.
cye sokong kbnaran nye
BalasPadamapakah langkah2 memajukan sistem saliran sungai di kampung?
BalasPadam